Home » , » Isu 'Allah': Kit Siang keldai tua, kata Noh Omar

Isu 'Allah': Kit Siang keldai tua, kata Noh Omar

Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar menyifatkan Penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai 'keldai tua' kerana tidak memahami undang-undang berkaitan penggunaan kalimah Allah di Selangor.
Noh berkata, Selangor mempunyai enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang jelas melarang orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah termasuk dalam penerbitan Bible berbahasa Melayu.
"Di Selangor ada enakmen, undang-undang, Fatwa yang dikuatkuasakan mengenai Allah malah titah Sultan yang mahu pelaksanaan undang-undang dilakukan.
"Jadi Lim Kit Siang dan DAP jelas cuba mempolitikkan isu kalimah Allah ini dan cuba menangguk di air keruh dengan memutarbelitkan fakta menyalahkan BN khususnya Umno," kata beliau dalam sidang media hari ini.
Lim dalam kenyataannya di laman web rasmi DAP semalam menyebut, Umno berubah kepada parti "pemusnah" negara, antaranya ekoran "sokongan" Noh terhadap protes di luar sebuah gereja dan mempertahankan terhadap orang Kristian.
Beliau berkata, "tindakan haram" dan bertentangan dengan perlembagaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan bantuan Polis membangkitkan persoalan serius tentang keikhlasan, keseriusan dan komitmen pemimpin Umno,
Menolak kenyataan itu, Noh berhujah, enakmen di Selangor itu lanjutan dari Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) perlembagaan yang menghalang penyebaran agama selain Islam di kalangan orang Islam.
Perkara 11(1) Perlembagaan memperuntukkan setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Perkara 11(4) - larangan mengembangkan kepada orang Islam.
Noh berkata, kewujudan enakmen, fatwa yang spesifik serta titah sultan menyebabkan Selangor berhak menguatkuasakan tindakan ke atas Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan paderi Lawrence Andrew boleh dikritik.
Menurutnya, fatwa bertarikh 27 Januari 2010 juga menyatakan, penganut agama lain tidak dibenarkan menggunakan kalimat suci Islam dalam hal agama mereka
"Kenapa dulu Lim Kit Siang bisu, tuli dan buta bila menteri besar dari PKR menyokong dan akur dengan titah Sultan berkaitan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam?
"Mengapa dia (pada waktu itu) tak sebut hal itu bercanggah dengan perlembagaan?" tanya Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang.
'3 ADUN lebih cerdik'
Jika mahu, Noh mengesyorkan agar Lim mencabar enakmen Selangor itu di mahkamah atau memindanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukan membuat kenyataan seolah tidak memahami undang-undang.
Membandingkan dengan tiga ADUN DAP yang mahu enakmen itu dipinda, beliau menyifatkan mereka lebih "cerdik" berbanding Lim.
"Tiga ADUN yang nak bawak usul pinda enakmen ini cerdik dan tahu undang-undang. Biarlah mereka bawak dan pinda dulu, itu hak mereka.
"Bawalah, saya cabar. Mereka lebih cerdik dari Lim Kit Siang. Ini baru cara yang betul," kata beliau.
---MalaysiaKini
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger