Home » » Tetap cari pesawat sampai dapat

Tetap cari pesawat sampai dapat


SEPANG: Usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 kekal menjadi keutamaan Malaysia yang memasuki hari ke-12 yang memberi tumpuan kepada dua koridor dengan pihak berkuasa dan pasukan penyiasat mendapatkan kepakaran dan pengalaman Perancis untuk mencari kotak hitam.

Bercakap dalam sidang media harian di sini hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau mendapatkan
pembabitan Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis
(BEA) yang bersetuju membantu pasukan mencari dan menyelamat.

"Mereka ada pengetahuan dalam nahas Air France dan dua tahun diambil untuk

jumpa kotak hitam. Maklumat dan pengetahuan mereka akan bantu kita.
Kita akan buat keputusan selanjutnya dari situ," katanya ditanya tindakan
yang akan dilakukan sekiranya pesawat itu masih tidak dijumpai selepas 30 hari.

Kebiasaannya pakar penerbangan percaya lampu isyarat perakam penerbangan
akan berhenti menghantar isyarat selepas 30 hari.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat B777-200ER membawa 239 penumpang
dan anak kapal, hilang pada 8 Mac dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke
Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL
pada 12.41 tengah malam Jumaat.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu.

Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila
usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.

Misi mencari itu kini ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang
menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand,
manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan
Lautan Hindi.

Koridor utara dan selatan itu meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika
persegi.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata adalah penting untuk
mencari kotak hitam bagi menjawab semua persoalan dan ketidaktentuan.

Beliau menegaskan Malaysia tidak akan menyimpang dari fokusnya untuk mencari
pesawat dengan kepentingan yang seimbang terhadap kedua-dua koridor berkenaan
walaupun koridor selatan kelihatan lebih mencabar.

"Tidak menarik, tetapi ia lebih mencabar. Kedua-duanya sama penting tetapi
koridor selatan lebih mencabar. Masa masih untuk mencari pesawat itu," katanya.

Beliau berkata pada masa ini pihak berkuasa mengenal pasti aset-aset dan
peralatan yang mungkin sesuai untuk operasi mencari di koridor selatan yang
meliputi kawasan lautan yang luas berbanding koridor utara.

Hishammuddin berkata pasukan penyiasat menerima beberapa data radar daripada
beberapa buah negara dan sedang dianalisis para pakar.

"Semua negara yang saya hubungi pertama kali membayangkan kes seperti ini
tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Keduanya, mereka akan memberi kerjasama yang penuh kepada kita. Adalah
terlalu awal untuk mendedahkan data itu. Dan data yang diberikan kepada kita
terlalu sensitif dan saya memerlukan kebenaran mereka sebelum mengeluarkannya,"
katanya. - Bernama

Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger