Home » , » Hasrat menyamun berakhir tragedi

Hasrat menyamun berakhir tragedi


Kuala Lumpur: Seorang anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota maut manakala dua lagi rakannya cedera selepas dipukul dan dibelasah dua warga Nigeria dalam kejadian cubaan samun di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong, di sini, semalam.
(Gambar Hiasan)
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek yang berusia 53 tahun dan dua lagi rakannya berusia 40-an dikatakan memecah masuk sebuah rumah di kawasan berkenaan untuk menyamun, namun dibelasah penghuninya hingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan.


Harian Metro difahamkan, ketiga-tiga mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia, kira-kira jam 5 pagi.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga suspek terbabit memecah masuk sebuah rumah di Taman Pusat Kepong.


“Sebaik berjaya memasuki rumah didiami dua lelaki warga asing berusia 27 dan 35 tahun itu, kumpulan terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis, malah seorang daripada mereka turut memakai ‘vest’ polis kononnya mahu melakukan pemeriksaan.


“Namun, penghuni rumah itu mengecam kumpulan lelaki terbabit kerana pernah menjadi mangsa samun kumpulan sama tahun lalu,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Menurutnya, mereka kemudian menjerit meminta pertolongan sebelum berlaku pergelutan.


“Akibat pergelutan itu, tiga suspek terbabit mengalami kecederaan sebelum mangsa menghubungi pihak berkuasa melaporkan kejadian berkenaan.

“Sepasukan polis yang tiba di lokasi kejadian menemui tiga suspek terbaring di ruang tamu rumah akibat tercedera. Mereka kemudian dikejarkan ke HKL bagi mendapatkan rawatan,” katanya memberitahu suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan (KK).


Zakaria berkata, pihaknya turut menemui pelbagai peralatan pecah rumah dipercayai milik kumpulan terbabit antaranya kuku kambing, pemotong besi, gari dan kad kuasa.


Beliau berkata, seorang daripada suspek disahkan meninggal dunia di HKL dan pihaknya membuka siasatan mengikut Seksyen 302 KK.


“Kami sudah menahan dua warga Nigeria (mangsa) itu bagi membantu siasatan. Laporan bedah siasat menunjukkan suspek mati akibat kecederaan di kepala kerana dipukul dengan objek tumpul,” katanya.
--Hmetro
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger