Home » » Sidang Media MH370: Kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan

Sidang Media MH370: Kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan


BERIKUT kenyataan Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada taklimat media hari ini (24 Mac) mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370.
 

Pengenalan

Usaha mencari MH370 diteruskan. Sejak beberapa hari lepas, petunjuk-petunjuk baharu dari data satelit memfokus operasi mencari dan menyelamat di koridor selatan.

Rakan-rakan kami terus menggerakkan aset-aset untuk membantu kami dalam kami berusaha mengecilkan kawasan pencarian.
 

Perkembangan Operasi
 
Semalam, usaha mencari dilakukan di kawasan pencarian di Australia seluas 18,500 batu nautika persegi.
 
Dua objek kuning dengan anggaran satu meter panjang dan satu tong berwarna putih dikesan oleh pesawat carian tetapi tidak dapat dikenal pasti dan tidak dapat dikaitkan kepada MH370 secara konklusif.
 
HMAS Success mengesan dua sasaran radar dalam lingkungan kawasan carian tetapi tidak dapat mengesan sasaran selepas siasatan lanjut di kawasan itu.
 
Awal hari ini, sebuah pesawat carian China dilaporkan ternampak objek di kawasan pencarian Australia. Objek-objek ini bukan di dalam kawasan berdekatan yang sebelum ini dikenal pasti pihak berkuasa Australia minggu lepas.
 
Beberapa minit lalu, Perdana menteri menerima panggilan daripada Perdana Menteri Australia, yang memaklumkan beliau bahawa pesawat carian Australia mengesan dua objek di kawasan carian Australia, satu berbentuk bulat dan satu segi empat tepat.
 
HMAS Success berada di kawasan berdekatan dan ia bermungkinan objek-objek itu boleh diambil dalam tempoh beberapa jam lagi atau paling cepat menjelang pagi esok.
 
Tiga kawasan pencarian, dengan jumlah anggaran 20,000 batu nautika persegi, telah dikenal pasti untuk operasi hari ini. RCC Australia menjangka 10 pesawat akan digunakan.
 
HMAS Success menjadi satu-satunya kapal di kawasan carian. Beberapa buah kapal China dijangka mula tiba dalam lingkungan kawasan pencarian pada 25 Mac.
 
Tiga pesawat - dua dari Jepun dan satu dari UAE – telahpun berlepas dari Subang hari ini dan dalam perjalanan ke koridor selatan.
 
Enam kapal Malaysia, dengan tiga kapal yang membawa helikopter, kini berada di kawasan utara koridor selatan. 10 kapal China berada di koridor selatan, menjalankan operasi mencari dan menyelamat. HMS Echo kini mengisi minyak di Maldives dan akan belayar ke koridor selatan petang ini.
 
Di koridor selatan, Turkmenistan mengesahkan mereka tidak mengesan MH370 pada radar mereka. Setiap maklumat yang kami terima daripada rakan-rakan kami di koridor selatan membantu kami untuk terus mengecilkan kawasan pencarian di koridor.
 

Imej Satelit
   
Petunjuk-petunjuk baharu mengenai kemungkinan lokasi MH370 diperoleh daripada data satelit. Ini merupakan satu daripada empat cara yang kami kenal pasti boleh mengecilkan kawasan pencarian bersama dengan data pemantauan radar, meningkatkan aset udara dan permukaan dan membawa lebih banyak pakar-pakar teknikal.
 
Imej paling baharu diperoleh satelit Perancis, yang mencerap imej radar mengenai objek berpotensi di kawasan berdekatan koridor selatan pada 21 Mac. Imej-imej ini diterima Malaysia pada petang 22 Mac dan disampaikan kepada RCC Australia pada pagi 23 Mac, apabila mereka mengetuai usaha mencari di kawasan tersebut di koridor selatan.
 
Pagi ini kami menerima satu lagi set imej dari satelit Perancis, kali ini dirakam kamera. Imej-imej ini dirakam semalam dan telah disampaikan kepada RCC Australia.
 

Taklimat keluarga
   
Semalam, pasukan peringkat tinggi bertemu anggota keluarga di Beijing lebih daripada lapan jam.
 
Anggota keluarga mengajukan banyak pertanyaan dan memohon bacaan radar dan data lain secara terperinci. Beberapa soalan tidak dapat dijawab dan sesetengah data yang dipinta masih dalam siasatan kerana ia merupakan prosedur standard dalam siasatan seperti ini.
 
Selepas bertemu dengan anggota keluarga terbabit selama lebih 12 jam dan menjawab ratusan soalan, pasukan peringkat tinggi itu pulang ke Kuala Lumpur untuk membincangkan perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan itu. Mereka akan kembali ke Beijing untuk meneruskan usaha itu esok.
 
Taklimat di Kuala Lumpur sejak dua hari lepas berjalan lancar dan respons anggota keluarga sangat positif seperti yang dapat dijangka dengan anggota keluarga berhubung dengan wakil daripada pihak berkuasa berkaitan.
 
Memang sentiasa menjadi hasrat kami untuk memastikan ahli keluarga seboleh mungkin dimaklumkan. Kami akan terus berbuat demikian.
   
Soalan-soalan khusus
 
Beberapa soalan yang saya ingin jawab.
   
Berhubung siasatan polis, kami boleh mengesahkan bahawa polis telah menemu bual lebih daripada 100 orang termasuk anggota keluarga juruterbang dan pembantu juruterbang.
 
Berdasarkan transkrip itu, jawatankuasa teknikal mempertimbang menyiarkannya dan kami akan terus memaklumkan mengenai keputusan itu.
 
Ketua Polis Negara akan menghadiri sidang akhbar esok untuk menjawab soalan-soalan selanjutnya mengenai siasatan itu.
 
Kami juga boleh mengesahkan bahawa MH370 membawa palet kayu. Bagaimanapun, masih tiada bukti lagi sama ada ini berkaitan dengan palet kayu yang dilaporkan dikesan di kawasan pencarian Australia.
 

Kata penutup
   
Usaha mencari MH370 telah membawa kita separuh jalan mengelilingi dunia. Ketika ini, tiada petunjuk-petunjuk baharu tetapi tiada yang konklusif. Fikiran kita terus bersama anggota keluarga yang masih menunggu perkhabaran. Sementara itu, kami menghargai kerjasama berterusan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan kita dalam pencarian yang disertai pelbagai negara.  - Bernama

Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger