Home » » Bahang dari lantai rumah

Bahang dari lantai rumah


Miri: “Tiba-tiba saya terasa bahang sebaik melangkah bahagian dapur sebelum mendapati api dan kepulan asap keluar dari tingkat bawah rumah,” kata Faizah Supri, 27, seorang daripada mangsa kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Pujut 9B, di sini.

Kebakaran 3.50 petang itu dipercayai bermula dari bahagian dapur di tingkat bawah rumah dua tingkat berkenaan sebelum merebak ke sebuah rumah kosong bersebelahan.
Difahamkan, tingkat bawah rumah berkenaan disewa dan didiami sepasang suami isteri bersama empat anak namun semasa kejadian kesemua mereka tiada di rumah kerana mahu menghadiri sukaneka di Senadin.

Faizah berkata, sebelum kejadian, dia bersama tiga anak berusia lapan hingga 11 tahun berada di beranda tingkat atas sedang bersembang bersama seorang jiran sekali gus langsung tidak menyedari kebakaran berkenaan.


“Ketika itu, jiran saya baru sahaja balik ke rumahnya dan saya menuju ke dapur untuk mengambil air minuman namun pelik apabila terasa bahang kepanasan dari di lantai rumah.


“Saya benar-benar terkejut dan hanya mampu menjerit mengarahkan anak saya keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya langsung tidak sempat menyelamatkan barang berharga kerana terlalu panik.

Menurutnya, dia bersama jiran bertindak memecah pintu rumah di tingkat bawah dan cuba menyimbah api dengan air, namun gagal berikutan api sudah marak membakar separuh dari rumah di tingkat bawah.

“Sebenarnya, kami enam beranak tinggal bersama keluarga mentua di tingkat atas, manakala tingkat bawah kami sewa kepada pasangan suami isteri berkenaan,” katanya menjelaskan semasa kejadian penghuni rumah lain tiada di rumah atas urusan kerja masing-masing.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga kini tinggal sehelai sepinggang dan sedang buntu memikirkan tempat tinggal apatah lagi empat anaknya masih bersekolah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng Eddy Zulkifli Abdullah berkata tiga jentera bersama 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.59 petang.

Katanya, sebaik tiba api sudah marak dan membakar keseluruhan dua rumah berkenaan, namun semua penghuni rumah terbabit selamat.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian, namun kami tidak menolak kebakaran kemungkinan berpunca dari api dapur gas yang lupa ditutup oleh penghuni di tingkat bawah rumah dua tingkat terbabit,” katanya.
--hmetro
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger