BAGI pemerhati politik, drama kekecohan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya dinantikan kerana ia sudah dijangkakan terjadi ekoran kemelut di dalam parti itu sendiri yang terus berlarutan.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor Arfa Aziz dalam twitternya hari ini melaporkan pemilihan di sembilan cabang PKR di Selangor dibatalkan kerana didakwa tidak telus serta disabotaj.
Lebih memalukan di cabang Selayang, terdapat dakwaan peti undi dilarikan ketika proses pemilihan sedang berlangsung.
“Pemilihan di 9 Cabang PKR untuk negeri Selangor telah dibatalkan oleh Jawatankuasa Pemilihan. #MenujuReformasiTulen,” Menurut tweet Arfa termasuk penggunaan hashtag reformasi.
Cabang-cabang yang dibatalkan pemilihannya ialah Subang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang, Klang, Kuala Selangor, Kota Raja dan Selayang.
PKR sebelum ini menggantung pemilihan di 17 Cabang ekoran masalah yang berlaku ketika proses pemilihan dijalankan.
Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Johari Abdul akan mendedahkan butiran mengenai jumlah cabang yang digantung dan sebabnya petang ini.
Pada Isnin lepas, pemilihan cabang Tenom terpaksa ditangguhkan kerana kecoh akibat kekurangan kertas undi.
Ratusan pemilih yang berang mengerumuni urusetia bagi mendapatkan kertas undi dan mula merempuh masuk apabila hanya 300 kertas undi dikeluarkan kepada perwakilan yang hadir.
Kekecohan bermula, di Hotel Perkasa pada petang Sabtu, apabila pengarah pemilihan bahagian PKR Tenom, Nazri Udoi menangguhkan mesyuarat dan menuduh pengarah pilihan raya negeri tersilap mengira jumlah perwakilan.
“Kami menerima 300 kertas undi, namun kira-kira 2,000 perwakilan hadir,” kata Nazri, sambil menambah 300 kertas undi yang telah dibuang dimusnahkan dihadapan calon yang bertanding di pelbagai peringkat dalam Cabang Tenom.
Catat Ulasan