Beliau berkata sebarang cubaan untuk meminda enakmen bersabit agama di negeri-negeri tertentu bukan sahaja tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan malah merupakan penghinaan secara langsung terhadap umat Islam di negara ini.
"Isu yang membabitkan syariat Islam tidak sewajarnya dijadikan polemik atau perdebatan secara terbuka kerana dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan atau salah tafsiran di kalangan masyarakat.
"Mengapa apabila timbul sahaja isu membabitkan kepentingan Islam, ia seperti sengaja diperbesar-besarkan, seolah-olah satu isu yang memberi ancaman kepada bukan Islam," tegas beliau dalam laman blog www.umnobahagiancheras.blogspot.com
Syed Ali mengulas kenyataan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad bahawa cadangan tiga wakil rakyat DAP untuk meminda Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam ) Enakmen 1988 sebagai melampau dan tidak menghormati serta mencabar Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Mohamad Shukri berkata, enakmen tersebut telah diluluskan khusus untuk umat Islam dan tidak mengganggu-gugat agama-agama lain.
Syed Ali berkata walaupun isu tersebut berlaku di Selangor tetapi seluruh para ulama, tokoh-tokoh agama dan kalangan mufti perlu bersatu menentang sebarang cubaan yang dilakukan pihak tertentu untuk meminda enakmen tersebut.
"Saya juga bimbang apabila mereka yang kurang arif perihal hukum dan syariat Islam membicarakannya secara terbuka, akan memberi persepsi negatif bukan Islam terhadap kemuliaan agama Islam," katanya.
Malah tegasnya, apabila bukan Islam turut mempersoal dan mempertikaikan enakmen Islam dengan bersandarkan kepada peruntukan perundangan sivil kedaaan akan bertambah rumit dan mengelirukan.
Sebagai contoh beliau menyebut keputusan mahkamah terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tetepi keputusan itu dilanggar oleh pihak tertentu sehingga mengundang kemarahan umat Islam.
Beliau kesal kerana parti pembangkang terutama DAP sengaja menanamkan perasaan curiga dan kebimbangan bukan Islam terhadap penganut Islam di negara ini.
Walhal katanya, kedudukan Islam sebagai agama rasmi sudah diterima pakai dan diperakui rakyat pelbagai kaum di negara ini sejak sekian lama.
-- BERNAMA
Catat Ulasan