Home » » 100 anggota PKR Tuaran sertai Upko

100 anggota PKR Tuaran sertai Upko


Sekumpulan 100 anggota PKR Cabang Tuaran, termasuk beberapa pemimpinnya, semalam mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko).

Mereka menyerahkan borang permohonan menyertai Upko, satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah, kepada Timbalan Presiden parti Datuk Wilfred Madius Tangau (kanan) dalam satu majlis dekat Kota Kinabalu.        

Pengarah Strategi yang juga Anggota Jawatankuasa PKR Cabang Tuaran serta Setiausaha Pakatan Rakyat Tuaran, Mohd  Fairuz Bandar yang mengetuai kumpulan itu, berkata mereka meninggalkan PKR kerana sudah hilang keyakinan terhadap keupayaan parti memenuhi aspirasi perjuangannya.

"Kami sepakat keluar daripada PKR setelah mengalami sendiri beberapa tahun betapa PKR itu hanya indah khabar dari rupa. Kalau diperkatakan satu persatu, akan memakan masa yang sangat panjang. Cukuplah kami katakan PKR bukan  opsyen terbaik andai kita mahu negara terus progresif dan makmur.

"Tindak-tanduk PKR, terutama dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti pada pilihan raya umum Mei tahun lalu  membuka mata kami dan menyakinkan kami bahawa PKR dan Pakatan Rakyat tidak wajar disokong," katanya kepada pemberita.

Menurut Mohd Fairuz, sebelum ini ramai dalam kalangan mereka menyertai PKR kerana tertarik dengan perjuangan parti itu yang menjanjikan pelbagai perkara termasuk menaikkan royalti minyak daripada lima peratus kepada 20 peratus, namun kesemuanya gagal direalisasikan.

Tegasnya mereka juga memilih menyertai Upko tanpa mengharapkan apa-apa balasan, sebaliknya mahu memperkasakan parti itu terutama ketika Upko diteraju oleh Tangau apabila Presiden parti Tan Sri Bernard Dompok melepaskan jawatan berkuat kuasa 21 Mac ini.

Sementara itu, Tangau mengalu-alukan penyertaan bekas penyokong PKR terbabit.

"Mereka telah membuat keputusan masuk Upko tanpa syarat. Bagi kita dalam Upko, tidak ada apa-apa yang mahu  ditawarkan kepada mereka kecuali satu platfom, satu landasan, satu tempat bagi mereka untuk meneruskan perjuangan,"  katanya.

- Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger