Home » , » Kenyataan Penuh Hishammuddin Untuk Hari Ke-7

Kenyataan Penuh Hishammuddin Untuk Hari Ke-7


KUALA LUMPUR — Berikut kenyataan Menteri Pertahanan dan
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sidang
berita mengenai misi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, di Sepang,
Selangor hari ini.

“Kini masuk hari ketujuh misi mencari MH370. Pada masa ini, terdapat 57 kapal
dan 48 pesawat terbabit dalam misi mencari. Sebanyak 13 negara terbabit.

“Keutamaan kami adalah untuk mencari pesawat ini. Kami menggerakkan usaha
mencari berdasarkan semua petunjuk, dan kami terus bekerjasama rapat dengan
rakan-rakan antarabangsa kami.

“Kami bersyukur dengan bantuan diberikan rakan-rakan dan jiran-jiran, yang
terus membantu kami dengan berkongsi data dan sumber mereka dalam usaha kami
mencari MH370.

“Saya bercakap mewakili rakyat Malaysia apabila saya berkata kami setulus hati
turut berdoa bersama-sama keluarga dan rakan kepada mereka yang berada dalam
pesawat itu”.

Maklumat baharu

“Terdapat banyak spekulasi dalam media hari ini selepas ulasan daripada pegawai
AS yang tidak dinamakan mencadangkan pesawat itu mungkin telah terbang untuk
tempoh tertentu sebelum terputus hubungan.

“Mengikut prosedur standard, pasukan penyiasat tidak akan mengeluarkan maklumat
kepada umum sehingga ia disahkan dan diperakui oleh pihak berkuasa relevan. Kami
juga tidak mahu dilibatkan dengan laporan kenyataan pegawai tidak dinamakan itu
kepada media.

“Sejak Ahad, kami telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa kami,
termasuk pasukan AS, yang pegawai mereka telah berada di sini di Kuala Lumpur.

“Sejak Rabu, pasukan penyiasat Malaysia telah berkongsi lebih banyak maklumat
terperinci, sebaik sahaja menerima maklumat itu, untuk pengesahan.

“Pasukan antarabangsa kini sedang berusaha mengesahkan maklumat terperinci itu,
tetapi ketika ini tiada apa-apa untuk kami sahkan.

Memperluas Penyiasatan

“Pesawat ini masih hilang, dan kawasan pencarian diperluaskan. Dua hari lepas,
kawasan pencarian diperluaskan untuk memasukkan Laut Andaman.

“Bersama-sama dengan rakan-rakan antarabangsa kami, kami kini bergerak lebih
jauh ke timur kawasan Laut China Selatan, dan lebih jauh di Lautan Hindi.

“Tiada apa yang lebih kami harapkan selain daripada menemui pesawat ini dengan
secepat mungkin. Tetapi keadaan telah memaksa kami untuk memperluaskan kawasan
pencarian kami.

“Satu penyiasatan biasa menjadi semakin mengecil mengikut masa, dengan fokus
pencarian dibuat berdasarkan maklumat baharu. Tetapi ini bukan penyiasatan
biasa. Dalam kes ini, maklumat yang kami ada memaksa kami untuk mencari ke
kawasan yang lebih jauh.

“Data Enjin”

“Semalam kami menyangkal laporan media yang memetik kenyataan pegawai yang
tidak dinamakan bahawa data enjin menunjukkan pesawat itu terus terbang selama
beberapa jam selepas membuat hubungan terakhir. Kami menghubungi Boeing dan
Rolls Royce, yang menyatakan laporan itu tidak benar.

“Hari ini, Rolls Royce mengeluarkan kenyataan yang menyatakan, dan saya petik,
‘Rolls Royce akan terus memberikan bantuan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan
Malaysia Airlines. Rolls Royce mengesahkan kenyataan dibuat pada Khamis 13 Mac
oleh Menteri Pengangkutan Malaysia berhubung data pemantauan keadaan enjin yang
diterima daripada pesawat itu”.

“Tompokan Minyak”

“Semalam, pihak berkuasa mengesan dua tompokan minyak di Laut China Selatan, 60
batu nautika selatan pada titik terakhir hubungan dengan MH370.

“Tompokan minyak yang pertama telah disiasat dan dianalisis dan didapati
mengandungi minyak pesawat pada kadar amat kecil. Tiada serpihan ditemui di
kawasan itu. Kami percaya tompokan minyak itu tiada kaitan dengan MH370.

“Sampel daripada tompokan minyak yang kedua juga telah disiasat dan dianalisis
dan tidak mengandungi minyak pesawat.

“Kenyataan Rumusan”

“Pasukan penyiasat menggunakan semua petunjuk yang dapat membantu mengesan
lokasi pesawat yang hilang itu. Apabila kami menerima maklumat baharu, dan
sebaik sahaja ia disahkan, kami akan bertindak. Apabila terdapat sebarang
kemungkinan, kami bertanggungjawab untuk menyiasatnya.

“Daripada awal krisis ini, kami telah bekerjasama dengan semua pihak
berkuasa relevan, termasuk agensi antarabangsa, pakar dan syarikat pembuat
pesawat.

“Kami mengadakan mesyuarat teknikal setiap hari dengan semua pemain utama.
Kami mematuhi protokol ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Antarabangsa,
Kami sentiasa berhubung dengan negara-negara jiran kami. Dan kami mengalu-alukan
semua tawaran bantuan antarabangsa. Kami komited kepada satu matlamat: mencari
MH370.” — BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger