Home » » MH370: Operasi diperluas, banyak persoalan masih belum terungkai

MH370: Operasi diperluas, banyak persoalan masih belum terungkai


KUALA LUMPUR: Sudah hampir seminggu sejak kehilangan Pesawat MH370 Penerbangan Malaysia dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Sabtu lalu dan pasukan pencari dan penyelamat masih gagal merungkaikan misteri kehilangan pesawat tersebut.

Malah, teori yang mengatakan bahawa kapal terbang tersebut mungkin telah terbang menuju ke Laut Andaman selepas hilang dari radar itu juga sukar untuk disahkan kesahihannya.

Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengatakan meskipun maklumat dari radar Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) membayangkan bahawa kapal terbang tersebut cuba berpatah balik, namun masih tidak dapat dipastikan secara keseluruhannya bahawa plot misteri yang dikatakan muncul dalam radar tentera berhampiran Pulau Perak di Kedah itu ialah pesawat MH370.

“Maklumat dari Panglima TUDM pada Sabtu lalu sangat jelas terdapat indikasi bahawa pesawat MH370 itu berkemungkinan berpatah balik selepas terputus komunikasi dengan menara kawalan udara di Subang namun begitu, ianya tidak dapat dipastikan 100 peratus bahawa pesawat tersebut adalah pesawat MH370 yang hilang itu,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Namun begitu, operasi mencari dan menyelamat kini telah pun di perluaskan hingga ke Selat Melaka dan kawasan-kawasan yang berada diluar selat tersebut.

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dari Ahad lalu, Malaysia telah bekerjasama dengan pelbagai agensi antarabangsa dan tentera termasuk dari Amerika Syarikat.

“Malah, kawasan mencari dan menyelamat ini juga telah diperluaskan hingga ke Laut Andaman dan kita telah meluaskan juga gerakan mencari dan menyelamat ini sebelah timur hingga ke Lautan Hindi,”.

Menurutnya, siasatan yang biasa lazimnya akan memendekkan apa jua bukti dan penemuan namun untuk siasatan seperti ini ianya telah memaksa pihak Malaysia untuk terus melihat sejauh mungkin kemungkinan dan bukti-bukti yang ditemui.

Dalam pada itu, saintis China mendakwa mereka telah mengesan satu “aktiviti gegaran” pada dasar laut Vietnam dan Malaysia pada 8 Mac lalu dimana dipercayai ianya konsisten dengan bunyi pesawat terhempas.

Kemungkinan tersebut juga dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang masih hilang.
Penyelidik dari Universiti Sains dan Teknologi China mendakwa mereka mengesan gegaran tersebut pada hari yang sama pesawat Boeing 777-200 itu dilaporkan hilang dari radar, iaitu kira-kira 120 batu nautika dari Kota Bharu, Kelantan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan dari laman sesawang universiti berkenaan menerusi akhbar South China Morning Post, satu gegaran kecil berlaku pada dasar laut kira-kira 150 kilometer dari selatan Vietnam pada jam 2.55 pagi.

Namun begitu, tiada pengesahan berkenaan dakwaan tersebut dilakukan dari pihak China, Vietnam mahupun Malaysia.

Sehingga kini, gerakan mencari dan menyelamat telah melibatkan penggunaan 57 kapal dan 48 kapal terbang dan helikopter dari tentera dan agensi penguatkuasaan maritim dari 13 buah negara


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/mh370-operasi-diperluas-banyak-persoalan-masih-belum-terungkai-31845?cp
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger