PASIR PUTEH - Seorang lelaki yang dikatakan berniat mencuri pisang dikejarkan ke hospital selepas dibelasah sekumpulan penduduk kampung sehingga patah tulang rusuk dalam kejadian di Selising dekat sini, awal pagi kelmarin.
(Gambar Hiasan)
Lelaki berusia 30 tahun dari Kampung Lepah itu dikatakan sempat mencantas beberapa tandan pisang milik penduduk kira-kira jam 1.30 pagi namun tidak sempat membawanya keluar.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, mengikut maklumat daripada pengadu, lelaki itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dengan meletakkan motosikal tidak jauh dari rumah pengadu dan berjalan kaki memasuki kebun pisang penduduk.
“Pengadu kemudiannya menghubungi seorang penduduk dan pada kira-kira jam 1.45 pagi, lebih kurang 20 penduduk berkumpul berhampiran kebun tersebut.
“Lelaki itu kemudiannya dikatakan keluar dari kebun dan menolak motosikal ke arah kebun, ketika itu penduduk bertanya kepada lelaki itu dan lelaki itu mengatakan motosikalnya kehabisan minyak," katanya.
Mohd Kamal berkata, bagaimanapun, tiba-tiba enjin motosikal itu dihidupkan dan lelaki berkenaan beredar ke jalan besar sebelum pengadu mendengar kekecohan.
Sekumpulan orang kampung yang membuat rondaan dikatakan menangkap lelaki tersebut dan setengah jam kemudian, anggota polis Balai Polis Selising tiba di tempat kejadian.
“Polis mendapati lelaki itu cedera pada mata kiri dan kanan, luka bahagian bawah bibir, belakang badan, lutut kiri, luka di kepala dan disyaki patah tulang rusuk dipercayai dibelasah penduduk kampung dan menghantarnya ke Hospital Tengku Anis untuk mendapatkan rawatan,’ katanya.
Siasatan awal mendapati, kumpulan rondaan bersebelahan kampung pengadu berjaya menangkap lelaki itu yang cuba melarikan diri sebelum mengaku mencantas beberapa tandan pisang tetapi tidak sempat membawanya lari.
Motosikal Honda EX5 dan sebilah pisau pemotong sayur panjang dirampas daripada lelaki terbabit termasuk satu pemutar skru yang dijumpai pada tubuhnya.
Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.
“Saya menasihati orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan sendiri termasuk melakukan kekerasan melampau dan disarankan menyerahkan segera suspek kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Secara logiknya seorang tidak mampu melawan ramai penduduk kampung, jangan ikut perasaan kerana khuatir niat yang baik pada asalnya bertukar dan berdepan tindakan undang-undang," katanya kepada Sinar Harian.
--sinar
.jpg)

Catat Ulasan