Home » , » Tekan kepala potong rantai

Tekan kepala potong rantai


Alor Setar: “Saya hanya mampu menjerit meminta tolong ketika seorang daripada sekumpulan lelaki menekan kepala saya ke bawah dari arah belakang. Lelaki itu kemudian menarik tudung saya lalu memotong rantai emas menggunakan gunting sebelum melarikan diri.”

Begitu kata warga emas Salehah Salleh, 54, yang mengalami kerugian RM6,000 apabila rantai emas miliknya dilarikan seorang daripada sekumpulan lapan lelaki bermotosikal di Taman Seri Kota, Kuala Kedah, di sini, semalam.


Kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 pagi ketika mangsa memotong dahan pokok bunga di halaman rumahnya seorang diri.
Ketika itu, suami mangsa, Ibrahim Mahmud, 63, berada di dalam rumah menjaga cucu mereka yang berusia dua bulan.


Salehah berkata, sebelum itu, dia ternampak sekumpulan lelaki memberhentikan motosikal tidak jauh dari rumahnya.


Bagaimanapun, katanya, dia menyangka mereka mungkin mahu melakukan kerja penyelenggaraan seperti memotong rumput di kawasan perumahan itu.

Menurutnya, dia kemudian menyambung kerjanya dan secara tiba-tiba berasa kepala ditekan ke bawah dengan kuat manakala tudungnya ditarik sehingga menutup mukanya.


“Ketika itu, saya meronta-ronta meminta tolong supaya dilepaskan, tetapi lelaki itu terus menolak saya menyebabkan kepala saya sakit.

“Terasa bagaikan nyawa di hujung tanduk kerana menyangka lelaki itu akan mencederakan saya menyebabkan saya menjerit meminta tolong.


“Saya kemudian terasa tangan kanan ‘kosong’ kerana lelaki itu berjaya mengambil rantai tangan dengan memotongnya menggunakan gunting,” katanya ketika ditemui, semalam.


Dia berkata, suaminya yang mendengar jeritannya kemudian keluar dari rumah dan cuba membantunya.


“Suami menyergah kumpulan lelaki terbabit sehingga mereka melarikan diri dengan menaiki empat motosikal,” katanya.


Katanya, dia bersyukur kerana semua lelaki terbabit tidak meluru ke dalam rumah kerana pagar dan pintu terbuka.


“Saya tak kisah rantai tangan emas itu hilang walaupun membelinya kira-kira lapan tahun lalu kerana bagi saya nyawa dan keselamatan keluarga lebih penting daripada segala-galanya.


“Disebabkan kejadian itu, saya kini berada dalam keadaan trauma kerana ia berlaku secara mengejut dan kali pertama berlaku di kawasan perumahan ini,” katanya.


Berikutan itu, Salehah membuat laporan di Pondok Polis Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Kolam Air, di sini, petang semalam.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan kumpulan terbabit.
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger