Home » » MH370 Guna Bluefin 21 petang ini

MH370 Guna Bluefin 21 petang ini


PERTH: Jentera selam Bluefin 21 akan dihantar ke dalam Lautan Hindi hari ini buat kali pertama dalam usaha menentukan jika isyarat yang dikesan sebelum ini berpunca daripada kotak hitam pesawat MH370.

Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata, kapal Tentera Laut Diraja Australia Ocean Shield akan melancarkan Bluefin 21 milik Tentera Laut Amerika Syarikat, petang ini.
“Sudah tiba masanya untuk mencari di dalam air kerana kami tidak dapat mengesan apa-apa isyarat sejak enam hari lalu,” kata Houston.

Dua isyarat dikesan pada 5 April oleh Ocean Shield menerusi ‘Towed Ping Locator’ (TPL) yang didapati konsisten dengan kotak hitam sebuah pesawat.


Dua lagi isyarat dikesan di kawasan sama Selasa lalu tetapi tiada isyarat baru sejak itu.


“Analisis empat isyarat sebelum ini membolehkan kawasan mencari dikecilkan. Pakar sudah menentukan bahawa Ocean Shield akan berhenti menggunakan alat pengesan isyarat ‘Towed Pinger Locator’ hari ini dan melancarkan jentera selam Bluefin 21 secepat mungkin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bluefin 21 dapat menghasilkan peta sonar dan mencarta serpihan yang terdapat di dasar lautan.

Ia akan mengambil masa 24 jam bagi setiap misi termasuk dua jam untuk menyelam, 16 jam menjalankan operasi mencari dan dua jam lagi untuk kembali.

Maklumat yang dirakam juga akan mengambil empat jam untuk dimuat turun, kata Houston.

Namun, penggunaan Bluefin 21 tidak bermakna serpihan dapat dijumpai serta merta, katanya.

Jentera selam itu bergerak enam kali lebih perlahan berbanding TPL manakala zon pencarian bawah laut itu memerlukan masa antara enam minggu hingga dua bulan untuk dicarta.

Isyarat ping yang dikesan setakat ini datang dari kedalaman 4,500 meter iaitu tahap paling dalam yang boleh dicapai kapal selam itu. - AP
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger