Home » , » POLIS T'GANU BURU KONTRAKTOR PUKUL MAT NOR WIRA PRK KUALA BESUT

POLIS T'GANU BURU KONTRAKTOR PUKUL MAT NOR WIRA PRK KUALA BESUT


KUALA TERENGGANU, 9 Jan (Bernama) -- Polis Terengganu kini sedang giat
memburu seorang kontraktor yang dipercayai terlibat dalam kes pukul seorang
petugas Yayasan Islam Terengganu, Mohd Noor Mat, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata polis telah
melakukan serbuan di rumah suspek berusia 51 tahun itu di Besut, namun gagal
mengesannya.
"Kita telah mengenal pasti suspek utama yang terlibat dan kita minta suspek
tampil menyerah diri ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut," katanya
kepada Bernama di sini hari ini.
Katanya, suspek dipercayai sedang bersembunyi di tempat lain dan yakin dia
dan beberapa individu lain akan diberkas dalam masa terdekat.
Kejadian berlaku pada kira-kira 1.50 petang di hadapan Dewan Gong Kemuntong
ketika Mohd Noor, 47, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok
Raja, Jerteh, Besut.
Mangsa telah disekat sekumpulan lelaki sehingga berlaku pertengkaran sebelum
mangsa ditumbuk dan dipukul.
Akibat pukulan itu, mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan dan
telah dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
serta dibenarkan keluar pagi, semalam.
Sementara itu, Manoharan meminta pihak yang tidak bertanggungjawab
menghentikan penyebaran fitnah yang mengatakan mangsa telah meninggal akibat
pukulan itu.
Katanya, tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang
menyebarkan berita kematian mangsa melalui laman sosial Facebook.
Pada 2007, Mohd Noor pernah mengharumkan nama Daerah Besut setelah
menyahut cabaran Menteri Besar Terengganu ketika itu Datuk Seri Idris Jusoh
untuk berjalan kaki dari Kemaman hingga Besut.
Beliau mengulangi kejayaan itu tahun lepas dengan berjalan kaki dari Kuala
Besut ke Putrajaya sejauh 600 kilometer sebagai melunaskan nazarnya setelah
Barisan Nasional mengekalkan kerusi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan
Negeri Kuala Besut, pada Julai tahun lalu.
-- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Today Now - Today News Online - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger